Palestin isu penting satukan hati umat Islam
SHAH ALAM - Apa yang berlaku di Palestin adalah isu penting bagi menyatukan hati umat Islam yang beriman dan kasih kepada tanah suci Baitul Maqdis walaupun berbeza ideologi dan mazhab.
Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, seharusnya seluruh umat Islam khususnya negara Arab dan negara Islam lantang menentang tindakan zalim Zionis Israel.
"Namun malangnya ada sebahagian negara-negara ini melaksanakan dasar normalisasi dengan negara haram Israel yang salah dan sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Kita mahu Zionis Israel dan negara-negara Arab bertanggungjawab atas kematian para syuhada, kemusnahan bangunan dan kecederaan rakyat Palestin yang tidak berdosa.
"Semua pihak sepatutnya berusaha mencari solusi lebih tegas dan konkrit termasuk mengenakan tekanan politik dan pemencilan antarabangsa ke atas rejim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan pada Sabtu malam.
Menurutnya, negara umat Islam yang kaya dengan hasil bumi dan kepakaran tenaga manusia tetapi hilang keizzahan akibat tidak bersatu dan termakan dengan peluru musuh Islam yang memainkan sentimen mazhab dan perkauman.
Oleh itu, Sekretariat Aid4Palestine menyeru dan mengajak seluruh umat Islam di Malaysia, negara-negara Islam dan masyarakat antabangsa untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Zionis Israel.
Pada masa sama, katanya, tindakan politik lebih keras perlu dikenakan ke atas negara haram berkenaan dengan pemencilan terhadap Israel yang melampaui batas undang-undang dan kemanusiaan.
"Kita mesti bersatu padu atas dasar keimanan dan kemanusiaan untuk bersama membebaskan bumi Palestin serta membela hak rakyat Palestin," katanya.
Beliau turut berharap usaha murni yang disambung daripada generasi terdahulu ini dapat diperluaskan lagi kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bersama-sama menggerakkan bantuan kemanusian dan membantu perjuangan suci Palestin.
"Semoga usaha ini dikira sebagai amal jariah dan ganjaran tertinggi di sisi ALLAH SWT. Selamatkan Masjid Al-Aqsa, bebaskan Palestin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!