Maritim Perak tahan bot nelayan langgar syarat sah lesen

Bot nelayan tempatan dikendalikan kru warga Thailand ditahan APMM berhampiran Pulau Jarak. Foto: ihsan APMM
Bot nelayan tempatan dikendalikan kru warga Thailand ditahan APMM berhampiran Pulau Jarak. Foto: ihsan APMM
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru di kedudukan 7.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak di sini, Jumaat lalu kerana melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan dilakukan ketika bot itu melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Jarak dengan menggunakan pukat tunda.

"Bot nelayan kelas C itu dikesan oleh KM Malawali yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di persempadanan perairan negeri sekitar jam 2.40 petang.

"Pemeriksaan mendapati kru terbabit termasuk tekong merupakan warga Thailand berusia 35 hingga 44 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Empat kru warga Thailand ditahan APMM kerana melanggar syarat sah lesen. Foto: ihsan APMM
Empat kru warga Thailand ditahan APMM kerana melanggar syarat sah lesen. Foto: ihsan APMM

Shahrizan berkata, kesemua kru terbabit mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kru serta hasil tangkapan dianggarkan seberat 300 kilogram ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu untuk tindakan lanjut.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!