Wartawan veteran Malaysia desak kekejaman Israel dihentikan
SHAH ALAM – Sekumpulan wartawan veteran Malaysia mendesak kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza dihentikan serta-merta.
Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan pada Ahad, mereka menyifatkan serangan berterusan di Gaza merupakan satu keganasan dan keangkuhan bagi menunjukkan kuasa oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Menurut mereka, serangan ke atas rumah kediaman, pejabat dan prasarana untuk rakyat telah menyebabkan kesengsaraan yang melampau di Gaza.
“Serangan itu sehingga ini telah menyebabkan kematian lebih 122 orang termasuk 33 kanak-kanak dan mencederakan tidak kurang 900 yang lain.
“Penderitaan di kalangan orang awam amat dikesali. Kami menganggapnya tidak lebih tindakan pencerobohan yang mesti dikutuk oleh negara-negara dan persatuan sivil.
“Kami percaya kerajaan Israel sedang mengumpulkan bala tenteranya untuk memasuki Gaza. Sekiranya itu berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani sembilan wartawan veteran iaitu Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Datuk Ahirudin Attan.
Tambah mereka, suasana tegang yang berlaku di tengah ancaman pandemik Covid-19 ini sama sekali tidak wajar.
Mereka turut menuntut wartawan Israel untuk bertindak sebagai ‘conscience’ negara itu.
“Apa yang berlaku bukan tentang apa yang selalu didakwa sebagai ‘hak Israel untuk wujud’. Para wartawan Israel patut menyuarakan hak rakyat Palestin untuk hidup sama.
“Mereka telah dinafikan hak asasi dan maruah akibat kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka selama lebih tujuh dekad,” kata mereka.
Kumpulan wartawan veteran Malaysia itu turut mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera udara Israel yang telah memusnahkan Menara Al-Jalas di mana terdapatnya pejabat beberapa syarikat media termasuk Associated Press (AP) dan Al-Jazeera.
Mereka pada masa sama tidak dapat menerima kenyataan bahawa dalam era ini, pihak tentera menjadikan pejabat pengamal media sebagai sasaran.
“Semua keganasan ini memang dirancang bermula dari pengusiran beberapa keluarga Palestin dari persekitaran Sheikh Al Jarrah, serangan pihak pelampau Yahudi ke atas rakyat Palestin dan tindakan tidak bertanggungjawab ke atas mereka yang menjalankan ibadah di Masjid Al-Aqsa serta serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu, mereka kesal bahawa sebahagian media barat memberikan gambaran bahawa rakyat Palestin sebagai militan, radikal dan pengganas, istilah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menghalalkan keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin.
Wartawan veteran Malaysia itu juga kesal bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Banga-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang resolusi dalam isu ini.
“Kami juga kesal bahawa pentadbiran Presiden, Joe Biden telah menghalang PBB dari membuat sebarang kenyataan mengenai hal itu.
“Pada pandangan kami, ini bukan soal agama atau ideologi tetapi tentang rakyat Palestin yang tertindas dan yang menjadi mangsa sejak begitu lama,” kata mereka.
Mereka turut mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hal ini.
“Dunia Islam menunggu pedoman dan hala tuju dari OIC. Tindakan menyepikan diri terutama di kalangan anggota OIC yang berpengaruh amat dirasakan sekali,” tegas mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!