Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak pantas dengan menuntut Israel menghentikan pencerobohan terhadap Palestin.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan tegas perlu dilakukan kerana rejim Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan keganasan terhadap Palestin.

"Berapa lama mesti diteruskan? Berapa lama kuasa besar akan berdiam diri terhadap tindakan tidak adil dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh kerajaan Israel ini?

"Serangan udara baru-baru ini oleh Israel di Gaza mengakibatkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak-kanak berterusan tanpa tindakan oleh masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Anifah yang berkhidmat sebagai Menteri Luar dari tahun 2009 hingga 2018 turut mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan dan memberi tekanan untuk memastikan Israel menghentikan pencerobohan dan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, tekanan mesti merangkumi sekatan dan larangan sehingga komuniti antarabangsa bertindak sewajarnya terhadap Israel kerana belum ada penyelesaian untuk mengakhiri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

"Memang sangat membimbangkan apabila Israel terus tidak bertanggungjawab dan membenarkan justifikasi tidak masuk akal sebagai alasan melanjutkan keganasan dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

"Usaha maksimum mesti dilakukan oleh masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan OIC," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!