Sambut 1 Syawal dalam banjir
TEMERLOH - Pengalaman terpaksa menyambut 1 Syawal dalam keadaan banjir pastinya tidak dapat dilupakan buat 17 buah keluarga di Kampung Batu Kapor di sini.
Selepas dilanda banjir besar pada awal tahun ini, mangsa terlibat tetap tabah menjalani dugaan tersebut.
Bagi seorang tukang jahit, Rahayu Mat Rasip, 43, dia dan ahli keluarganya memang tidak menjangka akan berlaku banjir kerana keadaan cuaca baik sebelum hari kejadian.
"Malam raya memang kawasan rumah sudah di kelilingi air dan air telah memasuki dalam rumah di bahagian dapur pada Subuh sebelum ke ruangan tamu.
"Nasib baik kami telah membawa dan memindahkan barangan rumah yang penting ke bahagian atas rumah," katanya di sini pada Ahad.
Ujarnya, dia yang tinggal bersama empat lagi ahli keluarganya akur walaupun sedih dan tertekan kerana terpaksa beraya dalam keadaan banjir dan surut sepenuhnya pada Jumaat lalu.
"Ini adalah pengalaman kali kedua beraya dalam keadaan banjir selepas kali pertama pernah terjadi insiden sama beberapa tahun lalu.
"Syukur tiada barang yang rosak seperti banjir besar pada awal tahun ini selepas sebahagian rumah penduduk kampung termasuk saya ditenggelami air hingga ke paras bumbung," jelasnya.
Seramai 59 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor pada petang 1 Syawal, difahamkan hujan lebat di Bentong menyebabkan berlakunya limpahan air Sungai Semantan di kampung tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!