Tekanan dihadapi guru perlu ditangani secara bersama
SHAH ALAM - Tekanan dihadapi oleh golongan guru perlu ditangani bersama tanpa mempolitikkan sistem dan hala tuju pendidikan negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, golongan guru turut berdepan tekanan sama seperti masyarakat lain dan faktor ini pasti menyumbang kepada keresahan yang boleh memberi impak kepada pelajar.
Amirudin berkata, guru merupakan aset negara yang bernilai bagi menghasilkan generasi muda berakhlak, berketrampilan dan berwawasan.
"Jika guru-guru diabaikan, adakah wajar untuk kita mengharapkan keperluan, keselamatan dan kebajikan pelajar kita turut terpelihara?
"Tekanan dilalui guru tidak boleh diabaikan dan wajib kita perbaiki bersama tanpa mempolitikkan sistem dan hala tuju pendidikan negara," katanya menerusi Perutusan Sambutan Hari Guru 2021, pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, golongan muda yang merupakan aset bagi sesebuah negara pada masa hadapan tidak akan mempunyai nilai sahsiah dan moral tinggi sekiranya nasib guru diabaikan.
Tambah beliau, hala tuju dan pendidikan negara perlu menjadi tumpuan utama semua pihak susulan ketidaktentuan peraturan berkaitan wabak Covid-19.
"Ketika negara berdepan pandemik ini, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengurangkan tekanan masyarakat dengan memastikan kita bekerja penuh komitmen supaya perkara asas seperti kebajikan rakyat terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!