#Aid4Palestine kumpul lebih RM1 juta

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

SHAH ALAM - Sekretariat #Aid4Palestine berjaya mengumpul sumbangan melebihi sasaran RM1 juta dalam tempoh tidak sampai 24 jam menerusi Tabung #Aid4Palestine selepas dilancarkan malam Sabtu.

Pengerusi Sekretariat #Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi bagaimanapun memberitahu, jumlah kutipan secara tepat akan dimaklumkan menerusi satu platform rasmi yang akan diputuskan pada Ahad.

Beliau berkata, sekretariat #Aid4Palestine akan bermesyuarat hari ini (Ahad) untuk memutuskan mengenai beberapa perkara termasuk bagaimana untuk menyemak jumlah kutipan terkini yang diterima menerusi tabung itu.

"Penyerahan semua sumbangan daripada rakyat itu akan dilakukan pada 10 dan 30 Syawal," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Khamis lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine dengan kerjasama lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tindakan proaktif dan segera dalam membantu perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah berkata, sekretariat itu berfungsi sebagai penyelaras jaringan NGO dan masyarakat sivil untuk menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Menurutnya, ia turut berperanan menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine dengan sasaran RM1 juta untuk disalurkan terus ke Palestin.

“Komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PasRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia manakala kutipan fasa kedua menyasarkan minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!