Lima nelayan ditahan tangkap ikan lebih masa
MERSING - Jabatan Perikanan Johor menahan sebuah bot pukat tunda zon B selepas didapati tidak mengikut syarat lesen kerana beroperasi melebihi masa dibenarkan di Pantai Tanjung Resang, di sini pada Ahad.
Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, bot berkenaan ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak sekitar 9.8 batu nautika dari Pantai Tanjung Resang, jam 1.30 pagi.
Katanya, tangkapan terbabit dilakukan ketika rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Johor.
"Hasil rondaan itu, sebuah bot pukat tunda zon B yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) ditahan selepas tidak mengikut mengikut syarat sah lesen.
“Tempoh operasi menangkap ikan bagi vesel B pukat tunda adalah pada jam 6 pagi sehingga 7 petang sahaja untuk jarak 5 hingga 12 batu nautika," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurut Noraishah, bot terbabit mempunyai lima orang kru termasuk tekong berusia 54 tahun dan awak-awak berusia 31 hingga 54 tahun serta terdapat hasil tangkapan seperti sotong dan selar kuning," katanya.
"Perbuatan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel itu merupakan kesalahan. Vesel terbabit dan peralatan menangkap ikan telah disita.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat lesen agar tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!