23 bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan Pahang
KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang menerusi cawangan Perlindungan Sumber (CPS) menahan 23 bot nelayan Vietnam dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2016.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, berdasarkan rekod, pada 2019 mencatatkan penahanan sebanyak 10 bot diikuti enam bot (2020), tiga bot (2017) dan masing-masing dua bot (2016 dan 2018).
Menurutnya, dalam tempoh lima bulan tahun ini, dua bot Vietnam ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di kawasan 51 batu nautika perairan Kuala Pahang Pekan.
"Seramai 20 tekong dan wak-awak ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti penangkapan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau menjelaskan, jabatan itu sentiasa menjalankan penguatkuasaan, kawalan dan pengawasan (MCS) di perairan Pahang yang menjadi tumpuan pencerobohan nelayan asing.
Katanya, kebanyakan nelayan asing yang ditahan mengaku hasil tangkapan banyak antara faktor mereka sanggup memasuki perairan di negeri ini.
"Mereka sebenarnya sudah mengetahui hukuman berat yang bakal diterima sekiranya ditangkap. Namun mereka masih berani menanggung risiko dan hanya bergantung sepenuhnya kepada nasib," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, nelayan asing yang menangkap ikan tanpa lesen atau permit di perairan negara ini boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
Jelasnya, sekiranya didapati bersalah tekong boleh didenda RM6 juta, manakala awak-awaknya didenda RM600,000 dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara sehingga enam bulan.
"Kebanyakan kes nelayan Vietnam menggunakan pukat ganding yang juga satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan membabitkan aktiviti menangkap ikan secara haram, hukuman berat menanti pihak terbabit," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap nelayan tempatan dapat bekerjasama memberi maklumat pencerobohan nelayan asing di perairan Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!