Pendirian Malaysia perlu jelas, isytihar Israel negara apartheid

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu jelas dalam menyatakan pendirian secara lantang yang menjangkau kecaman semata-mata dengan memfokuskan kepada dua prinsip utama dalam usaha menyelesaikan konflik Palestin-Israel ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prinsip berkenaan termasuklah menyemak semula dasar Penyelesaian Dua Negara atau 'Two-State Solution' selari dengan aspirasi rakyat Palestin dan kedudukan semasa di Malaysia.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini sudah ada ketetapan berhubung 'Two-State Solution', namun semakin banyak wilayah Palestin diduduki secara haram dan pengusiran penduduk Arab terus menjadi dasar rasmi rejim Yahudi.

“Justeru, penilaian semula dasar ini amatlah wajar apatah lagi apabila parti-parti yang mendukung kerajaan sedia ada adalah mereka yang mempunyai pendirian menentang 'Two-State Solution',” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, prinsip seterusnya adalah dengan mengisytiharkan secara rasmi Israel sebagai negara apartheid.

Belia berkata, berdasarkan kekejaman rejim Zionis Israel itu, kecaman dan kutukan dunia ketika ini sangat tidak memadai.

“Sebelum ini Malaysia sudah mengisytiharkan secara tegas kepada dunia bahawa kita tidak mengiktiraf negara haram Israel di dalam pasport kita.

“Namun, kita mesti mengambil langkah yang lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi. Ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Palestin: Malaysia sokong 'Penyelesaian Dua Negara'

Tambah beliau, dengan pengisytiharan tersebut ia secara tidak langsung akan mengubah kedudukan rejim itu dalam forum-forum dunia malah memberi kesan yang lebih serius.

“Ini termasuklah pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik. Justeru, ia akan memberi tamparan serta tekanan yang cukup jelas,” kata Mohamed Nordin.

Sehubungan itu, beliau turut berharap agar kerajaan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu tersebut.

“Sesungguhnya kita semua akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan tatkala saudara kita diperlakukan dengan kejam oleh rejim pengganas yang tidak berperikemanusiaan.

“Semoga keamanan, maruah dan hak Palestin akan kembali kepada mereka selayaknya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!