Tujuh buruh binaan ditahan bantu siasatan kematian rakan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Enam orang buruh binaan warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian rakan sekerja mereka di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya menerima laporan kematian lelaki warga Myanmar yang berusia 29 tahun daripada pakar perubatan hospital terbabit kira-kira jam 3.05 petang.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Hla Min dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri daripada tapak pembinaan sebuah kondominium di Bayan Lepas selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Ketika pemeriksaan dibuat di Unit Kecemasan HPP, pakar perubatan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pukulan objek tumpul di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh rakan sekerja di bahagian tandas tingkat 22.

Katanya, menurut saksi, ketika itu mangsa masih lagi bernyawa sebelum mereka menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian.

"Tiada saksi bebas atau rakan sekerja melihat kejadian itu dan mengesahkan punca kecederaan.

"Kehilangan mangsa hanya disedari oleh rakan-rakan lain kerana mangsa tidak datang mengambil makanan tengah hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, penyelia mangsa yang curiga dengan ketiadaan mangsa telah arahkan pekerja lain untuk mencarinya sebelum menemukan mangsa dalam keadaan berdarah.

Tambahnya, siasatan polis di tempat kejadian hanya menjumpai telefon bimbit dan kasut milik mangsa di dalam bilik tandas serta sebatang besi yang terdapat kesan darah disyaki cebisan kulit.

"Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan kita belum kenal pasti punca dan motif kejadian.

"Enam rakan sekerja dan teman serumah mangsa ditahan untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!