Rejim Zionis semakin mengganas
GENTING GAZA - Rejim Zionis pada awal pagi Ahad memperhebatkan kempen ketenteraan yang masuk hari ketujuh dengan menyasarkan lebih 90 lokasi termasuk kawasan berpenduduk padat di bandar Gaza.
Sekurang-kurangnya 33 lagi penduduk Palestin termasuk lapan kanak-kanak terkorban dalam serangan udara dilancarkan Israel yang merupakan angka kematian tertinggi sejak kempen pengeboman itu bermula hampir seminggu lalu.
Sehingga Ahad, jumlah korban di Genting Gaza telah mencecah 181 orang termasuk 52 kanak-kanak manakala lebih 1,000 cedera.
Serangan yang semakin ganas yang dilancarkan bertalu-talu dari udara, laut dan darat itu turut menyebabkan kemusnahan harta benda dan infrastruktur yang besar serta memutuskan rangkaian bekalan elektrik dan jalan raya yang menghubungkan kawasan kejiranan utama di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan haram Israel sejak tahun 2007.
Dalam perkembangan berkaitan, rejim Zionis turut membedil rumah Ketua Sayap Politik Hamas di Genting Gaza, Yahya Sinwar dan Ketua Logistik dan Tenaga Kerja, Muhammad Sinwar tanpa memberikan butiran lanjut sama ada kedua-duanya terkorban atau tidak, sehari selepas ia mengebom bangunan yang menempatkan biro media asing.
Menurut tentera Israel, kedua-dua kediaman tersebut kononnya berfungsi sebagai infrastruktur tentera untuk gerakan Hamas yang kini menjadi sasaran utama kempen ketenteraan mereka.
Difahamkan, Sinwar yang merupakan bekas komander unit tentera Hamas pernah meringkuk selama lebih dua dekad di penjara Tel Aviv sebelum dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan pada tahun 2011.
Pada tahun 2017, beliau kemudiannya dilantik memimpin sayap politik Hamas dan dipilih semula memegang jawatan itu pada Mac lalu.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan meneruskan kempen serangan ke atas Gaza selama tempoh yang diperlukan.
“Operasi ini belum berakhir dan akan diteruskan,” ujarnya tanpa mempedulikan kecaman komuniti antarabangsa yang membantah kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!