Awaslah, dadah menukar manusia jadi pembunuh

No Image Caption
A
A
A

KES jenayah yang berlaku akhir-akhir ini amat tragis kerana pelaku sanggup melakukan perbuatan di luar batasan kewarasan manusia.

Paling terkini dan menyayat hati apabila bayi lelaki berusia sembilan bulan diliwat dan dibunuh dalam kejadian yang berlaku pada 27 April lalu di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya.

Berdasarkan siasatan awal, suspek yang merupakan penganggur positif dadah jenis syabu.

Selain kes itu, ada juga penagih yang sanggup membunuh ibu, adik beradik dan rakan kerana mahu mendapatkan wang untuk membeli dadah.Lihatlah betapa dahsyat kesan dadah terhadap pelaku hingga apa yang dilakukan mereka tidak pernah terlintas di fikiran manusia biasa.

Betapa kuat pengaruh bahan terlarang itu dalam fikiran penagih hinggakan tindak-tanduk yang dilakukan mereka amat menggerunkan.

Dan kempen untuk memerangi dadah bukan benda baharu apabila tindakan undang-undang dengan menguatkuasakan Akta Dadah Berbahaya telah dilakukan sejak tahun 1952 lagi.

Disebabkan kes yang semakin meruncing dan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, pada 19 Februari 1983 kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Banyak usaha telah dilakukan termasuk kempen, penubuhan agensi khas, peruntukan dana dan sebagainya tetapi sehingga hari ini kes melibatkan dadah masih berlaku.

Artikel Berkaitan:

Di mana silapnya dan siapa yang harus dipersalahkan apabila musuh nombor satu negara itu masih gagal ditangani hingga sekarang?

Sebagai rakyat marhaen, kita tidak tahu apa yang berlaku dalam negara ini hinggakan najis itu boleh berada di pasaran dan masih dijual dalam kalangan penagih.

Apa yang mampu kita lakukan sebagai rakyat bawahan adalah dengan mengambil tanggungjawab memastikan orang yang berada di sekeliling kita tidak terjebak dengan dadah.

Pastikan anak-anak, adik-beradik, rakan-rakan dan jiran tetangga sentiasa terpelihara serta tidak menuju ke arah kehancuran melibatkan dadah.

Kita harap masalah besar seperti ini tidak berlarutan hingga boleh meruntuhkan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!