Elak ke pusat beli-belah hanya untuk mengisi masa lapang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat beli-belah sentiasa dikerumuni orang ramai, namun semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini, masyarakat menjadikannya alasan sebagai tempat berkumpul.

Seorang pembantu perubatan, Ain Shafie, 34, berkata, kebanyakan pusat beli-belah yang dibuka semasa raya Aidilfitri penuh dengan orang ramai hingga terpaksa beratur untuk memasuki sesebuah kedai.

"Walaupun kita beraya dalam PKP, namun kerana pusat beli-belah dibuka, masyarakat ramai pergi ke sana untuk membeli barang dan berkemungkinan turut bersiar-siar.

"Jika mereka datang untuk tujuan penting itu tidak mengapa, tapi agak membimbangkan jika jumlah pengunjung tidak dapat dikawal dan boleh menjadi punca kenaikan kes kerana aktiviti pengumpulan berlaku secara tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ain turut meluahkan rasa terkilan terhadap mereka yang rata-rata dilihat pergi ke pusat beli-belah tanpa tujuan yang penting dan hanya ingin mengisi masa yang terluang pada hari raya.

Dalam pada itu, Nur Syahierah Said, 25, pekerja di sebuah pusat beli-belah di daerah Petaling berkata, kedai yang paling ramai pengunjung ialah pasar raya dan kedai pakaian.

"Pusat beli-belah memang sentiasa ramai pengunjung terutamanya ketika musim perayaan untuk membeli barang perayaan yang diperlukan walaupun semasa PKP. Namun, keadaan ketika ini masih dapat dikawal.

"Kami di bahagian khidmat pelanggan bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi menjaga keselamatan semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan wartawan Sinar Harian mendapati orang ramai sudah mula pergi ke pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur seawal jam 10 pagi pada cuti umum dan hujung minggu walaupun masih berada dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan, orang ramai masih mengikuti SOP dengan sentiasa memakai pelitup muka selain berdaftar dengan MySejahtera untuk masuk ke premis di dalam pusat membeli belah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!