Dakwaan daftar vaksin Sinovac melalui SELangkah tidak benar
SHAH ALAM - Mesej tular berkenaan pendaftaran untuk vaksin Sinovac menerusi aplikasi SELangkah adalah palsu.
Selangor Task Force Covid-19 (STFC) menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, maklumat rasmi mengenai vaksin Covid-19 hanya boleh didapati menerusi media sosial STFC, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atau Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.
Selain daripada akaun-akaun media sosial tersebut, STFC juga menasihatkan rakyat supaya sentiasa semak kesahihan maklumat menerusi kenyataan rasmi di media sosial mereka atau medium yang betul.
“Rakyat diseru mendapatkan maklumat sahih menerusi laman sosial berikut; Amirudin Shari, Dr Siti Mariah, Selangor Task Force Covid-19 dan Media Selangor,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, satu mesej mendakwa terdapat platform lain untuk mendapatkan vaksin Sinovac melalui aplikasi SELangkah tular di WhatsApp.
Mesej tersebut menyeru kepada sesiapa yang sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera dan menunggu giliran janji temu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk mengambil vaksin jenis Sinovac dengan lebih cepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!