'Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai untuk ibu hamil'

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dengan tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini, Khairy berkata, dua lagi vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu hamil buat masa ini.

Beliau berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan mengkoordinasi dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada golongan itu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pengambilan vaksin berkenaan juga boleh ditangguhkan selepas kehamilan.

Katanya, vaksin Pfizer-BioNTech juga sesuai diberikan kepada ibu menyusu namun bagi vaksin Sinovac dan AstraZeneca, data keselamatannya adalah terhad dan pengesyoran akan dibuat selepas konsultasi.

"Ini merupakan panduan klinikal semasa yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai vaksin bagi golongan hamil dan menyusu, dan mereka dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sekiranya mempunyai keraguan berkaitan," katanya.

Menurut Khairy, hingga kini, seramai 10.18 juta individu telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Seramai 1.202 juta orang menerima satu dos manakala 733,237 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin, dengan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan setakat ini ialah sebanyak 1,935,632 dos.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri, Khairy berkata, kerajaan belum membuka PPV industri namun CITF telah meluluskan permohonan kilang Pharmaniaga untuk projek rintis.

“CITF meluluskan permohonan industri ini kerana mereka merupakan kilang vaksin yang mana mereka terlibat dalam pembotolan vaksin Sinovac. Kilang Pharmaniaga membeli vaksin mereka sendiri untuk diberi kepada pekerja kilang mereka,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!