25 pokok berisiko di Kuala Lumpur akan ditebang

Pokok berisiko yang akan ditebang secara berperingkat mulai Jun hingga Julai.
Pokok berisiko yang akan ditebang secara berperingkat mulai Jun hingga Julai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 25 batang pokok yang berisiko bahaya akan ditebang secara berperingkat mulai Jun hingga Julai.

Kawasan terlibat termasuk Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan, Jalan Raja, Jalan Kinabalu dan Jalan Pinang.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, tujuan penebangan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan orang awam serta berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak memandangkan lokasinya berada di kawasan tumpuan awam.

Menurut DBKL, pemeriksaan mendapati pokok-pokok berkenaan berisiko termasuk telah reput pada pangkal akar dan dahannya, selain retak serta dahan mati.

"Pokok yang ditebang ini akan digantikan dengan pokok lain bergantung kepada keluasan ruang penanaman.

"Jika keluasan ruang tidak sesuai untuk penanaman pokok maka ia akan digantikan dengan tumbuhan renek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, perancangan penanaman semula pokok di pusat bandar Kuala Lumpur dibuat berdasarkan Garis Panduan Pelan Pengurusan Pokok Rendang yang diterbitkan pada Januari 2019.

"Pelan ini menterjemahkan garis panduan meliputi ruang penanaman pokok tepian jalan, kaedah reka bentuk ruang penanaman, senarai cadangan pokok serta kaedah penggantian pokok.

Artikel Berkaitan:

"Pelan itu dibuat memandangkan penanaman pokok di kawasan bandar terdedah kepada cabaran seperti keluasan ruang penanaman yang terhad, tanah tapak yang berkualiti rendah, tanah mampat serta persaingan kepentingan terhadap struktur dan kemudahan awam sedia ada," katanya.

Katanya lagi, pelan itu juga menjadi rujukan semua agensi yang terlibat dalam mengurus pokok-pokok rendang di kawasan Kuala Lumpur.

Garis panduan pelan pengurusan pokok rendang itu boleh dimuat turun di laman web DBKL https://www.dbkl.gov.my/en/jabatan-pembangunan-landskap-dan-rekreasi/

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!