Hanya kerana RM20

Kereta dan barangan bersubsidi yang berjaya dirampas oleh KPDNHEP dan PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa di simpang tiga Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat.
Kereta dan barangan bersubsidi yang berjaya dirampas oleh KPDNHEP dan PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa di simpang tiga Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Hanya kerana RM20, seorang lelaki sanggup mengambil risiko dengan membawa barangan bersubsidi ke sempadan Malaysia-Thailand sebelum diseludup ke negara jiran menggunakan laluan tikus yang terdapat sepanjang Sungai Golok, Pengkalan Kubor di sini.

Bagaimanapun hasrat lelaki itu menikmati upah RM20 untuk perjalanan satu hala (aktiviti menyeludup) tidak kesampaian apabila dicekup anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa pada Ahad.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, lelaki berusia 28 tahun itu dicekup di simpang tiga Kampung Bendang Pak Yong sini, pada jam 4.30 petang semasa sedang membawa barangan bersubsidi tersebut ke pangkalan haram.

"Semasa melakukan rondaan bersama PGA, pihaknya telah ternampak sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kampung Jubakar ke Kampung Simpangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, anggota penguatkuasa KPDNHEP Kelantan dan PGA kemudian terus mengekori kereta tersebut.

Beliau berkata, menyedari diekori, suspek telah bertindak memberhentikan keretanya secara mengejut di kawasan simpang tiga Kampung Bendang Pak Yong untuk melarikan diri namun gagal.

Azanizam Affendi berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati ia sarat dengan 340kg minyak masak paket bersubsidi, 200kg tepung gandum dan 240kg gula pasir.

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan suspek mengaku mengambil upah RM20 bagi setiap penghantaran dari lokasi ditetapkan oleh individu yang tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Azanizam Affendi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM6,804.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!