Langgar SOP: Polis buka kertas siasatan terhadap bekas ADUN Jabi

No Image Caption
A
A
A

BESUT - Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar susulan dakwaan mengadakan majlis rumah terbuka pada hari pertama Aidilfitri, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 PU (A) 225/2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mohd Iskandar tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada pukul 8.15 malam tadi dan siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beberapa foto tular di media sosial sejak Khamis lepas yang memaparkan beberapa tetamu termasuk kanak-kanak menikmati juadah Aidilfitri di kediaman Mohd Iskandar yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Setiu.

Sementara itu, Mohd Iskandar ketika dihubungi Bernama berkata, beliau hadir memberi keterangan di IPD Besut dan setakat ini tiada sebarang kompaun ditawarkan kepadanya.

"Tiada penganjuran rumah terbuka... namun saya serahkan kepada pihak polis untuk teruskan siasatan dan membuat pertimbangan sewajarnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!