Dakwaan Israel berhak pertahankan diri tidak boleh diterima
KUALA LUMPUR - Sekiranya benar penduduk Israel mempertahankan diri daripada roket yang dilancarkan oleh Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain, maka mereka harus bertindak di negara mereka sendiri dan bukannya di bumi Palestin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri Malaysia itu berkata, alasan Israel bahawa mereka berhak untuk mempertahankan diri tidak dapat diterima kerana penduduk Palestin yang sebenarnya berusaha mempertahankan diri.
"Saya yakin Israel selepas ini akan mengambil alih Sheikh Jarrah dan tanah tempat berdirinya Masjid Al-Aqsa...," katanya semasa sesi interaktif maya bertema ‘Palestine: Malaysia With Love’' yang dipengerusikan oleh Farrah Adeeba dalam laman Facebooknya pada Ahad.
Dr Mahathir yang sering berhasrat kembali ke perjuangan asalnya menjadikan perang pencerobohan sebagai satu jenayah, menyifatkan tindakan Israel melakukan serangan sengit di pelbagai bahagian di Kota Gaza yang disekat sebagai pertempuran yang tidak adil kerana Palestin lemah dan tidak mempunyai senjata seperti yang dimiliki rejim Zionis.
Kenyataan lebih kurang sama turut disuarakan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata, ia satu penghinaan apabila negara-negara lain muncul dan berbicara mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri, sedangkan mereka langsung tidak pernah menyebut satu perkataan pun mengenai hak Palestin untuk mempertahankan diri ketika penduduk Palestin dizalimi dan dijajah selama lebih 50 tahun.
Hishammuddin berkata demikian dalam ucapannya semasa mesyuarat khas terbuka untuk Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat menteri luar pada Ahad.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dilaporkan berkata, "Israel berhak membela diri" apabila rangkaian roket oleh Hamas dan kumpulan Palestin lain dilepaskan dari Gaza sebagai membalas serangan Israel baru-baru ini.
Angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad meningkat kepada 197 orang, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Jumlah yang cedera telah mencecah 1,235 orang manakala banyak bangunan telah musnah atau rosak. Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada bulan Ramadan merebak ke Gaza apabila pejuang Palestin di sana bertekad membalas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, tempat berdirinya Al-Aqsa, semasa perang Arab-Israel 1967. Ia menceroboh seluruh kota pada 1980 dalam gerakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!