Wanita UMNO kutuk tindakan Israel usir rakyat Palestin
SHAH ALAM - Wanita UMNO mendesak Israel untuk segera menghentikan serta merta kekejaman terhadap rakyat Palestin di wilayah yang didudukinya, termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pihaknya juga mengutuk sekerasnya tindakan mengusir rakyat Palestin dari rumah mereka secara haram oleh polis Israel dan mendesak rmenghentikan segera pengusiran secara paksa itu.
“Timur Baitulmaqdis sebahagian kawasan yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah Palestin yang diduduki, tidak ada kawasan pun yang boleh dirampas,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Norshida berkata, Wanita UMNO turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Rusia, Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel segera menghentikan tindakan kejam itu.
“Bagaimanapun, rakyat Palestin tidak menyerah kalah malah mereka bangkit melawan pencerobohan itu tanpa senjata.
“Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada yang bertali arus tidak henti-henti,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai membantu meringankan penderitan dan bersolidariti bersama rakyat Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!