Pesakit Covid-19 cuba lari dari PKRC mahu beli rokok
KOTA BHARU - Seorang pesakit Covid-19 ditahan petugas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ketika cuba melarikan diri dari sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini pada minggu lalu.
Lelaki berusia 30-an itu menggunakan laluan kakitangan di bahagian belakang untuk keluar, bagaimanapun tindakannya disedari petugas yang kemudian bertindak menahannya.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, kepekaan dan tindakan pantas petugas berjaya menghalang pesakit tersebut yang memberi alasan mahu keluar untuk membeli rokok.
“Kejadian berlaku sebelum Aidilfitri apabila individu tersebut disahkan positif Covid-19 dan ditempatkan di PKRC.
“Dia dimasukkan semalaman tetapi cuba bertindak keluar dengan memberi alasan hendak membeli rokok,” katanya ketika ditemui pemberita di PKRC Gelanggang Seni di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika melihat persediaan pembukaan PKRC Gelanggang Seni iaitu PKRC kelapan di negeri ini.
Beliau berkata, berikutan kes itu, pihaknya membuat penambah baik kelengkapan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di PKRC dan sentiasa membacakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) supaya menjadi ingatan kepada pesakit Covid-19 di situ.
“Menurut Seksyen 12 Akta 342 yang dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta sama, keingkaran larangan merupakan satu jenayah.
“Pesalah boleh dihukum penjara selama dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!