Langgar SOP: Cukupkah sekadar denda kepada instafamous, selebriti?

Hukuman ringan yang dikenakan kepada Instafamous atau selebriti yang melanggar SOP boleh memberikan impak atau persepsi buruk masyarakat umum terhadap sistem perundangan negara.
Hukuman ringan yang dikenakan kepada Instafamous atau selebriti yang melanggar SOP boleh memberikan impak atau persepsi buruk masyarakat umum terhadap sistem perundangan negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak akhir-akhir ini kes melibatkan Instafamous atau selebriti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang wabak Covid-19 menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat yang kebanyakannya mahu hukuman setimpal dikenakan kepada pesalah.

Namun, adakah hukuman denda sahaja memadai bagi memberi pengajaran kepada golongan ini dan bakal pesalah lain?

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli berpendapat, hukuman ringan yang dikenakan kepada golongan ini boleh memberikan impak atau persepsi buruk masyarakat umum terhadap sistem perundangan negara memandangkan golongan tersebut merupakan tokoh masyarakat.

“Setiap tingkah laku serta sahsiah mereka mempengaruhi pengikut atau peminat mereka. Oleh yang demikian, perlu satu hukuman lebih berat dikenakan untuk menyampaikan mesej bahawa tidak ada dwistandard dalam menjatuhkan hukuman,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, amat wajar jika hukuman yang dijatuhkan itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan agar rakyat lebih yakin golongan ini tidak menikmati 'keistimewaan' daripada pihak berkuasa.

Tegasnya, tindakan sedemikian juga akan membuatkan masyarakat berfikir banyak kali sebelum melakukan kesalahan sama.

Adi Zulkarnain menjelaskan, sesuatu hukuman yang dikenakan bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah dan juga orang awam agar mereka tidak melakukan perbuatan yang sama.

Pada 20 April lepas, seorang selebriti Instagram, Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed dan suaminya, Azharique Shah Abdul Jalil masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati memberi maklumat bertulis palsu kepada polis untuk merentas negeri.

Artikel Berkaitan:

Selebriti Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor pula dikenakan kompaun RM20,000 atas kesalahan melanggar SOP penganjuran majlis perkahwinan serta merentas negeri, manakala suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail dikompaun RM10,000 kerana turut sama melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Pada 4 Mei, seorang lagi Instafamous dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video adegan raya melibatkan anggota polis berpakaian uniform yang dimuat naik di laman sosial miliknya baru–baru ini.

Pendirian sama turut diluahkan peguam Siti Nor Syahidah Ismail yang berpendapat bahawa hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas selebriti kerana masyarakat berpotensi meniru tindakan itu sehingga menyebabkan mereka tidak mengendahkan perintah pihak berkuasa.

“Kadangkala masyarakat akan memandang Instafamous sebagai VVIP, orang yang sentiasa terlepas daripada sebarang bentuk hukuman seperti yang sepatutnya dikenakan kepada orang awam.

“Sedangkan impak perbuatan mereka itu mungkin menyebabkan kesusahan kepada orang ramai. Perlu diingat ‘nobody is above the law’ dan impak perbuatan mereka ini seolah-olah mereka VVIP yang mana apabila membuat salah tetapi seperti tiada tindakan tegas,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!