'Kenyataan Chang Khim biadab'
SHAH ALAM - DAP perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap seorang pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan tidak sensitif berhubung isu perjuangan Palestin.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim terhadap perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu Palestin adalah tindakan yang tidak sensitif dan biadab.
Menurutnya, perbuatan Chang Khim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor itu telah menimbulkan persoalan mengenai pendirian pemimpin itu dan DAP dalam memperjuangkan isu Palestin.
“Saya ingin bertanya kepada beliau, adakah krisis ekonomi dan penularan wabak Covid-19 di negara kita menghalang untuk sesiapa saja mengulas bab Palestin secara terbuka? Adakah itu polisi DAP dan agenda pihak Pakatan Harapan (PH) jika naik berkuasa di negara ini nanti?
“DAP wajar mengambil tindakan tatatertib terhadap pemimpinnya itu jika apa yang diluahkan itu bukan merupakan ideologi parti tersebut.
“Malah kerajaan negeri Selangor juga wajar memecat mana-mana Exco negeri yang tebal sifat anti terhadap elemen-elemen yang menjadi sensitiviti majoriti rakyat negara ini terutama Melayu Muslim seperti isu Palestin ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muhammad Faiz turut mendakwa kenyataan Chang Khim itu merupakan bukti bahawa ada pemimpin DAP yang tidak bersimpati kepada Palestin.
Chang Khim menerusi hantaran di Facebook sebelum ini mendakwa Perdana Menteri cuba mengalihkan fokus rakyat Malaysia yang ketika ini diancam dengan penularan Covid-19 melalui isu Palestin.
Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsikan pautan siaran langsung Perutusan Khas Isu Palestin oleh Muhyiddin.
Hantaran tersebut bagaimanapun sudah dipadamkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!