'Ayah tak sempat selesai puasa enam'

Penunggang skuter Yamaha NVX meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dengan motosikal Honda C70 dalam kejadian di bulatan Puspakom, Chendering, pagi Isnin.
Penunggang skuter Yamaha NVX meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dengan motosikal Honda C70 dalam kejadian di bulatan Puspakom, Chendering, pagi Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Anak kepada imam Surau Al- Hikmah di Kampung Padang Midin yang meninggal dunia akibat kemalangan di bulatan berhampiran Puspakom, Chendering di sini pada Isnin tidak menyangka bapanya tidak sempat berbuka puasa.

Menurut Mohamad Aris Irsyaduddin Zainuddin, 28, bapanya, Zainuddin Mohd Amin, 52, berpuasa enam hari ketiga dan arwah sentiasa ceria menjalani ibadah itu.

"Ayah meninggal dunia ketika sedang berpuasa, semoga amalnya diterima dan rohnya tenang di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, pada Hari Raya Aidilfitri, keadaan bapanya seperti biasa tetapi ada menyatakan hasrat untuk menunaikan puasa enam bulan Syawal.

"Tak sangka ayah tak sempat berbuka hari ini. Dia pergi dalam keadaan berpuasa. Semoga segala amal kebaikan ayah diterima ALLAH SWT," katanya.

Zainuddin meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira jam 7 pagi di bulatan berhampiran Puspakom, Chendering pada Isnin ketika dalam perjalanan untuk berurusan di Puspakom.

Katanya, dia mendapat tahu bapanya ditimpa kemalangan selepas dimaklumkan jemaah surau yang datang ke rumah sekitar jam 8 pagi.

"Saya seolah-olah sedang bermimpi ketika jemaah surau datang ke rumah memberitahu kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Aris Irsyaduddin, sebelum pulang dan terlelap di rumah, dia sempat menunaikan solat Subuh berjemaah bersama arwah di surau.

Katanya, dia difahamkan bapanya, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas skuter Yamaha NVX ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lagi motosikal jenis Honda C70.

Menurutnya, dia sekeluarga sempat bertemu bapanya sebelum arwah keluar rumah tetapi tidak menyangka ia pertemuan kali terakhir selepas solat subuh berjemaah.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, seminggu sebelum kejadian bapanya agak pendiam dan tidak banyak bercakap.

"Emak perasan perubahan ayah saya yang menjadi agak pendiam dan hanya menjawab apabila ditegur," katanya.

Mohamad Aris Irsyaduddin berkata, jenazah bapanya yang juga Timbalan Setiausaha Surau Al-Hikmah akan dikebumikan di tanah perkuburan di Kampung Paya Resak, selepas dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!