'Saya tak pernah cuti sebagai ahli UMNO'
SEMENYIH - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini membuat kemunculan, di sini, bagi menyantuni penduduk setempat.
Menjelaskan kehadirannya mewakili individu bukan parti, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tetap hadir ke DUN Semenyih meskipun masih bercuti sebagai presiden parti.
"Ini kali ketiga saya turun (Semenyih). Saya tidak turun sebagai membantu jentera UMNO atau BN.
"Saya datang sebagai individu dan juga kehadiran yang dianjurkan oleh NGO walaupun saya bercuti, saya tak pernah bercuti sebagai ahli UMNO," katanya ketika ditemui pemberita dalam program sembang santai bersama penduduk setempat, di sini.
Ketika ditanya tempoh tamat cuti beliau, Ahmad Zahid berkata, "nantilah saya tentukan".
Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.
Penyerahan tugas itu demi keutuhan parti serta kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan ADUN dan UMNO Bahagian.
Sebelum ini dalam satu program di Bagan Datuk, Ahmad Zahid pernah memberi bayangan akan kembali memimpin UMNO selepas peristiwa besar berlaku dalam negara tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah peristiwa besar yang dimaksudkannya itu.
Katanya, beliau akan bercuti sehingga tempoh di mana beliau perlu menghabiskan cuti, kerana mengikut 'kasyaf' para ulama ada menyebutkan akan berlaku peristiwa besar dalam negara.
Jelasnya, apabila berlaku perkara besar itu, beliau akan kembali untuk memimpin UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!