Juruteknik maut dihempap batang paip
CHUKAI - Seorang juruteknik maut dihempap sebatang paip saluran gas seberat hampir satu tan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Shahir Hasauddin, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mengecat paip saluran gas sepanjang kira-kira 10 meter dalam bengkel fabrikasi sebelum salah satu paip besi berhampiran tiba-tiba menggelungsur dan menimpa mangsa.
"Pihak bomba terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dengan menggunakan jentera forklif," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!