CAC: Selangor tambah 150 sukarelawan
SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor pada Isnin memutuskan untuk menambah seramai 150 orang sukarelawan bagi melancarkan operasi di Pusat Penilaian Covid (CAC), Stadium Malawati di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mesyuarat bersetuju untuk menambah sukarelawan yang terdiri daripada pejawat awam, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE dan pelajar perubatan.
Katanya, kaunter khas juga akan disediakan mulai minggu hadapan bagi tujuan pemotongan gelang atau penamatan kuarantin di rumah.
"Ini kerana 48 peratus yang hadir ke CAC didapati bertujuan untuk pemotongan gelang kuarantin.
"Dengan pertambahan sukarelawan ini akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 dan penilaian pesakit terutamanya di CAC daerah Petaling di Stadium Malawati.
"Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC dan pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang telah tamat kuarantin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya akan mewujudkan pusat panggilan dan CAC swasta yang bertauliah untuk malaksanakan pemerhatian di rumah.
Ujarnya, seramai 65 pengamal perubatan diberi kebenaran untuk melaksanakan pemerhatian di rumah dan senarai CAC swasta tersebut akan dimaklumkan kemudian.
Dalam perkembangan lain, pihaknya turut dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengenai penambahan kelengkapan unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah katil bagi pesakit Covid-19 di Selangor.
"Sejumlah 300 katil dan wad ICU akan ditambah, manakala 1,300 katil akan ditambah di MAEPS Serdang.
"Kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem bunyi turut ditambah baik di CAC Stadium Malawati sejak Ahad untuk keselesaan orang ramai.
"Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya akan merawat pesakit dari Selangor dan Kuala Lumpur berikutan keputusan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di beberapa negeri lain di wilayah tengah seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!