Segera bawa dalang rusuhan di Parit Raja: PN Johor

Sahruddin Jamal
Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) Johor berharap polis akan segera membawa dalang rusuhan di Batu Pahat ke muka pengadilan.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut dan berharap siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti jika benar wujud dalang tersebut.

"Tindakan polis menahan 20 individu terbabit sebelum ini bertujuan mengambil keterangan dan membantu siasatan. Berilah ruang sepenuhnya kepada pihak polis menyiasat.

"Amat malang sekali apabila kudrat dan semangat kumpulan anak muda ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk melakukan perbuatan yang melanggar batas perundangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan 20 individu pada Jumaat kerana terlibat dalam insiden merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang 'Kerajaan Gagal' di Parit Raja, Batu Pahat pada Khamis.

Kesemua individu berusia antara 16 hingga 28 tahun itu merupakan penduduk setempat dan insiden itu tular di media sosial.

Dr Sahruddin kesal kerana insiden itu berlaku ketika negara baru sahaja menyambut Hari Belia Negara 2021.

Katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan belia dalam segala aspek termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerajaan sama sekali tidak pernah menghalang atau menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk anak muda tetapi tidak perlu menimbulkan provokasi melampau dan mengganggu ketenteraman awam.

"Manfaatkan kebijakan yang dimiliki untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam merencanakan pelbagai perancangan dan tindakan yang dapat menyelesaikan isu melibatkan masyarakat di lapangan.

"Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa komited bagi memastikan setiap agenda dan dasar memberi penumpuan terhadap pemulihan ekonomi negara dan kemaslahatan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!