Enam tahun merangkak urus diri

Salariah yang tinggal berdua bersama anaknya tidak mampu berdiri dan hanya merangkak untuk menguruskan diri di rumahnya di Kampung Setia Jaya, Kamunting di sini.
Salariah yang tinggal berdua bersama anaknya tidak mampu berdiri dan hanya merangkak untuk menguruskan diri di rumahnya di Kampung Setia Jaya, Kamunting di sini.
A
A
A

TAIPING - Di sebalik kegembiraan menyambut Syawal dalam suasana penuh sederhana, seorang warga emas di Kampung Setia Jaya, Kamunting di sini hanya mampu mengurus diri dengan merangkak disebabkan keadaannya yang uzur.

Salariah Sabiram, 71, sejak enam tahun lalu, sudah berkeadaan seperti itu namun ia bukan alasan untuk berdiam diri kerana masih boleh bergerak untuk menguruskan diri.

Menurutnya, menguruskan diri berseorangan bukanlah perkara yang sukar kerana dia tidak mahu bergantung harap kepada orang lain.

“Sudah enam tahun saya tidak boleh berjalan atau berdiri kerana keuzuran dan lutut ini pun tidak lagi kuat seperti dulu. Tetapi saya masih mampu merangkak untuk ke dapur, bilik air, solat, ambil wuduk dan ke depan rumah untuk menyapu sampah serta sebagainya.

"Inilah sahaja kekuatan dan tenaga yang masih ada untuk saya menjalani sisa-sisa hidup ini,” katanya.

Salariah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Kader Maideen Hussain; Setiausaha Penerangan Bersatu Perak, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz yang menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban wanita tersebut di rumahnya pada Isnin.

Menurut Salariah, dia tinggal bersama anaknya, Mohd Sahnizam Che Man, 36, yang masih belum berkeluarga dan bekerja di sebuah kilang berhampiran.

Sementara itu, Kader Maideen berkata, pihaknya akan mengusahakan bantuan diperlukan oleh warga emas itu termasuk kerusi roda.

Beliau yang juga pemimpin Bersatu Taiping turut akan membantu mengusahakan kad orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkan Salariah mendapat bantuan keperluan yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!