Tunai niat jaga ibu, bapa sakit

Noor Hayati (tengah) menjaga kedua ibu bapanya yang terlantar sakit ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasmin, Senawang.
Noor Hayati (tengah) menjaga kedua ibu bapanya yang terlantar sakit ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasmin, Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu tunggal di Taman Jasmin, Senawang di sini sanggup berhenti kerja bagi menjaga kedua ibu bapanya yang terlantar sakit sejak dua bulan lalu.

Noor Hayati Othman, 52, berbuat demikian secara rela hati selepas melihat keadaan kesihatan orang tuanya yang merosot sejak tahun lalu.

"Sebelum ini emak dan ayah tinggal dengan kakak. Tapi dia pun ada komitmen lain dan suaminya juga tidak sihat.

"Saya pun sudah pasang niat, jika emak dan ayah sakit, biar saya yang jaga mereka kerana saya ibu tunggal dan lima anak saya pun sudah besar," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Menurutnya, walaupun dia kini memikul tanggungjawab menguruskan ibu bapanya, namun adik-beradiknya yang lain turut sama memainkan peranan.

Kata Noor Hayati, dua adik lelakinya akan datang ke rumahnya setiap hari Isnin hingga Jumaat untuk memandikan ayahnya yang terlantar akibat strok, manakala ibunya akibat sakit tua.

"Sekarang ini saya bergantung dengan duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) anak keempat yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, selain duit bantuan JKM ayah.

"Anak saya yang sudah bekerja pun ada juga membantu. Tapi saya faham mereka pun ada komitmen masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dia juga pernah mendapat bantuan RM1,000 daripada Baitulmal dan wang itu digunakan untuk membeli kerusi roda serta lampin pakai buang ibu bapanya.

Sementara itu Pegawai Agihan Zakat Baitulmal Senawang, Mohd Suhaimi Mohd Aziz membuat lawatan ke rumah Noor Hayati untuk mendalami masalah dihadapi keluarga berkenaan.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya akan melihat keperluan ibu tunggal terbabit sebelum menyalurkan sebarang bantuan diperlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!