Anggota polis cedera bergelut dengan OKT lari dari hospital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan selepas bergelut ketika memberkas seorang tahanan lelaki yang bertindak melarikan diri dari Hospital Selayang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada jam 1 petang, dua anggota polis telah ditugaskan untuk menjaga lelaki berusia 39 tahun itu di wad pemerhatian hospital berkenaan.

"Ketika anggota polis sedang memantau, mereka telah nampak lelaki itu sedang berbaring dan mengalih kedudukan secara duduk di atas katil sambil tangan kirinya dalam keadaan bergari di bahagian kepala katil.

"Secara tiba-tiba lelaki tersebut terus melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan masih bergari," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Arifai berkata, anggota polis berkenaan melihat besi pada kepala katil telah tercabut.

"Dua orang anggota polis tersebut terus mengejar lelaki itu kira-kira sejauh 120 meter sehingga ke hadapan kawasan sebuah pusat membeli-belah.

"Semasa proses tangkapan, telah berlaku sedikit pergelutan dan seorang anggota polis mengalami cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ahad untuk rawatan disebabkan mengalami penyakit sawan.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu telah ditangkap bersabit satu kes rogol oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dan ditahan reman selama tujuh hari," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini, kita menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!