Kane sudah hilang sabar dengan Spurs

KANE
KANE
A
A
A

PENYERANG sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane mungkin sudah hilang sabar dengan kelab tersebut selepas menyuarakan hasrat secara terbuka untuk berpindah ke kelab lain musim depan.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, Kane sudah memaklumkan kepada Spurs mengenai hasratnya itu dan akan mengemukakan permohonan rasmi apabila saingan musim ini berakhir.

"Kane menyatakan mahu berpindah ketika pertemuan dengan pengerusi kelab, Daniel Levy baru-baru ini selain menegaskan untuk terus bermain dalam Liga Perdana Inggeris.

"Namun, dia belum mengemukakan permohonan rasmi dengan Kane juga masih mempunyai kontrak tiga tahun. Kelab juga hanya memikirkan untuk menyudahkan saingan liga terlebih dahulu musim ini," kata laporan tersebut.

Kane yang sudah bersama Spurs sejak 2009 menjadi penyerang terbaik pernah dimiliki apabila meledak 165 gol dalam 243 penampilan bersama kelab daripada Utara London itu.

Namun, persembahan cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun hanya mampu menghadirkan anugerah individu buatnya dengan tiada piala berprestij yang dapat dinikmati oleh Kane bersama Spurs.

Malah, Kane dalam temubual selepas memenangi Anugerah Pemain Terbaik London tahun ini juga memberikan bayangan untuk meninggalkan Spurs selain menegaskan mengidamkan kejuaraan yang belum dapat dicapai dalam kariernya.

"Anugerah individu sememangnya satu anugerah yang sangat hebat. Apabila saya melihat kepada penghujung karier saya nanti, sudah tentu saya mahukan sesuatu yang lebih lagi. Matlamat sekarang sebagai pemain adalah untuk memenangi piala.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah memenangi anugerah pemain terbaik London, tetapi saya mahu memenangi kejuaraan yang lebih besar bersama pasukan dan kami (Spurs) tidak melakukannya ketika ini.

"Saya lebih suka memenangi piala daripada anugerah individu seperti ini. Namun, sudah tentu saya bangga untuk menang yang bermakna saya sudah melakukan musim yang bagus musim ini. Jadi saya harus pergi untuk mencuba dan meneruskan apa yang sudah saya lakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!