Tindakan Israel isytihar bunuh anggota Hamas biadab, angkuh
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan tindakan pihak Israel yang mengisytihar untuk memburu dan membunuh seluruh anggota Hamas itu biadab dan angkuh kerana sengaja mempromosikan keganasan serta jenayah perang ke seluruh dunia.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya mengecam tindakan berkenaan yang dilihat sebagai usaha terancang rejim Zionis untuk menormalisasi terrorisme dalam peradaban manusia sejagat yang berpaksikan ideologi perkauman Zionis.
“Rejim Israel juga sanggup mencabuli kedaulatan negara-negara dunia seperti mana yang dilakukan ke atas negara Palestin yang diiktiraf di sisi undang-undang antarabangsa.
“Ini bertujuan memenuhi keserakahan syahwat Zionisme semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Muhammad Faisal menggesa masyarakat antarabangsa untuk sama-sama bangkit dalam mempertahankan kedaulatan negara masing-masing.
“Ini penting bagi memastikan kita tidak tunduk dengan agenda keganasan Israel demi memelihara keamanan malah hak asasi sejagat.
“Tindakan ini juga secara tidak langsung akan membuka mata seluruh dunia untuk terus mengecam keangkuhan mereka sebagai solidariti untuk memelihara kemakmuran dunia,” katanya.
Pada Selasa lalu, tentera Israel telah menyerang 130 sasaran ketenteraan di Gaza dan mendakwa berjaya membunuh 15 anggota Hamas dan Jihad Islam selepas pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke arah Israel.
Perkara tersebut didedahkan oleh jurucakap tentera rejim Zionis, Jonathan Conricus kepada pemberita sebagaimana dilaporkan oleh AFP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!