Ahli Parlimen Jordan desak Duta Israel diusir

Ahli-ahli Parlimen Jordan sebulat suara mengemukakan usul bagi mendesak kerajaan mengusir Duta Israel dari negara itu. - Foto AFP
Ahli-ahli Parlimen Jordan sebulat suara mengemukakan usul bagi mendesak kerajaan mengusir Duta Israel dari negara itu. - Foto AFP
A
A
A

AMMAN - Ahli-ahli Parlimen Jordan pada Isnin sebulat suara mengemukakan usul bagi mendesak kerajaan mengusir keluar Duta Israel dari negara itu sebagai protes terhadap serangan tentera Israel ke atas penduduk Palestin.

Speaker Parlimen, Abdul Monem Odat mengumumkan tindakan itu menerusi televisyen selepas sesi Parlimen menumpukan kepada situasi di Palestin dan jenayah yang dilakukan rejim Zionis di Baitumaqdis dan Gaza.

Pengusiran Duta Israel itu adalah antara usul yang dicadangkan, kata Odat.

Menurut AFP, ahli-ahli Parlimen juga menuntut supaya Duta Jordan ke Israel dipanggil pulang dari Tel Aviv.

Perdana Menteri, Bishr Khasawneh yang berada di dalam Parlimen berkata, kerajaan akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada berhubung isu Palestin.

Sebelum ini, Jordan mempunyai perjanjian damai dengan Israel yang ditandatangani pada tahun 1994.

Para penunjuk perasaan yang menyertai tunjuk-tunjuk perasaan serangan tentera Israel ke atas Gaza itu juga menuntut supaya Duta Israel diusir dari negara itu.

Kira-kira separuh daripada 10 juta penduduk Jordan mempunyai darah keturunan dari Palestin termasuk 2.2 juta pelarian Palestin yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!