Polis Perlis rampas 190.9kg ganja pada hari raya pertama

Surina menunjukkan guni yang digunakan sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk sebanyak 190.9 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM477,250 dari negara jiran pada sidang media di IPK Perlis hari ini. - Foto Bernama
Surina menunjukkan guni yang digunakan sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk sebanyak 190.9 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM477,250 dari negara jiran pada sidang media di IPK Perlis hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Polis Perlis mematahkan satu sindiket penyeludupan dadah dan merampas 190.9 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM477,250 dan menahan enam suspek warga tempatan dalam satu serbuan awal pagi hari raya pertama.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, hasil intipan selama tiga jam awal pagi Khamis itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis mematahkan cubaan membawa masuk dadah menggunakan sebuah bot nelayan, di sebuah jeti haram berdekatan Kuala Perlis, dekat sini.

Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri namun tiga daripada suspek tersebut termasuk seorang wanita, berjaya diberkas semula pada Sabtu di Kuala Perlis dan Simpang Empat.

“Tiga lagi suspek ditahan pada Ahad (16 Mei) di Kuala Perlis dan Pulau Langkawi, Kedah.

“Kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40 tahun itu didapati postif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.

Surina berkata, semua suspek lelaki mempunyai jenayah lampau berkaitan dadah dan beberapa kesalahan lain.

Beliau berkata, siasatan selanjutnya mendapati, sindiket itu dipercayai mula aktif awal tahun ini dan menggunakan jalan laut untuk menyeludup masuk dadah dari negara jiran, sebelum dipasarkan ke Pulau Pinang.

“Tiga suspek utama termasuk teman wanita direman bermula 16 Mei hingga hari ini, manakala baki suspek direman bermula semalam hingga 19 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

“Kini kita sedang berusaha untuk mengesan saki-baki ahli sindiket yang melakukan jenayah penyeludupan ini di negeri Perlis,” katanya - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!