Segerakan inisiatif bantu usahawan

Osman (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek (tengah) melihat produk usahawan tani di Bagan Datuk.
Osman (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek (tengah) melihat produk usahawan tani di Bagan Datuk.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan dilihat masih tercari-cari jalan penyelesaian membantu usahawan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana sehingga kini belum ada sebarang inisiatif diumumkan.

Timbalan Pengerusi Koperasi Bersepadu Rungkup Berhad, Osman Hamzah berkata, dalam tempoh PKP ramai usahawan yang terjejas disebabkan kuasa beli rakyat semakin berkurangan.

Menurutnya, usaha lebih proaktif perlu digerakkan kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan usahawan untuk membantu mereka yang terjejas supaya boleh terus berniaga.

"Sebagai contoh di Bagan Datuk ini, ramai usahawan yang terpaksa cari kerja makan gaji kerana bisnes sedia ada tidak dapat menampung pendapatan. Bantuan daripada agensi juga terpilih dan bukan semua usahawan dapat.

"Jadi kita tidak nampak ada usaha baharu dilakukan kerajaan untuk membantu meningkatkan jualan produk usahawan dalam tempoh PKP ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Osman berkata, pendekatan bantuan sedia ada oleh pihak kerajaan perlu disesuaikan dengan normal baharu dalam suasana pandemik Covid-19 yang kebanyakan perniagaan bertukar secara dalam talian.

Menurutnya, disebabkan itu, pihak koperasi sudah mengenalpasti 20 usahawan yang akan dibantu untuk dibangunkan menerusi program khas di bawah Model dan Inisiatif Baharu Ekonomi Kominiti (MIBEK) Rungkup yang diperkenalkan Institut Agro Usahawan (IGROW).

Jelasnya, usahawan sedia ada tidak boleh terus menunggu bantuan kerajaan yang mungkin sedang dirancang tetapi mereka perlu mencari solusi segera agar perniagaan tidak terkubur.

Artikel Berkaitan:

"Kita nampak usahawan di Bagan Datuk ini jauh ketinggalan berbanding di kawasan lain. Keadaan itu menambahkan lagi kesusahan kepada mereka.

"Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dari sudut pembungkusan, pengeluaran, pemasaran dan sebagainya untuk memastikan kualiti produk mereka meningkat," katanya.

Sementara itu, Osman mengharapkan agensi kerajaan berkaitan dapat memberikan bantuan segera kepada usahawan kecil yang terjejas akibat PKP.

Katanya, jika kerajaan masih tercari-cari formula baharu untuk membantu usahawan ketika PKP, mereka boleh mengiktiraf dan menggunakan formula diperkenalkan menerusi MIBEK yang terbukti mampu meningkatkan jualan usahawan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!