Enam kain rentang anti Israel dipasang sekitar Banting
KUALA LANGAT - Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda Pas Kawasan Kuala Langat menghasilkan kain rentang khas bagi menzahirkan solidariti kepada penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel.
Pengarahnya, Saidul Marjuni berkata, enam kain rentang khas itu dinaikkan di empat lokasi di sekitar Banting, di sini.
Menurutnya, inisiatif menghasilkan enam kain rentang itu bertujuan sebagai menyokong kesedaran terhadap isu kemanusiaan khususnya terhadap rakyat Palestin yang kini berjihad menentang kekejaman Israel.
"DACS Pas Kawasan Kuala Langat turut berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak kain rentang yang bertulis ‘Free Palestin’ dan ‘Israel Terrorist’ untuk dipasang di lebih banyak lokasi di Kuala Langat.
"Langkah ini dibuat sebagai satu manifestasi mendapatkan tarikan dan sokongan yang lebih ramai oleh komuniti sekitar Banting," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Saidul berkata, kain rentang itu mengambil masa seharian dari petang hingga ke tengah malam untuk menyiapkan enam kain rentang berkenaan.
"Usaha kecil ini diharap dapat membangkitkan kesedaran dan cakna masyarakat setempat kepada situasi sedang berlaku di Palestin ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Saidul turut mengajak anak-anak muda sekitar Kuala Langat khususnya untuk bersama-sama menunjukkan komitmen sokongan terhadap rakyat Palestin.
"Rakyat diminta terus berdoa agar diberi kekuatan dan kemenangan kepada Palestin untuk menamatkan konflik perang dicetuskan oleh Zionis Israel," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!