Peluang akhir untuk sumbangan #Aid4Palestine
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan masih membuka ruang kepada seluruh rakyat negeri ini untuk menyumbang kepada rakyat Palestin bagi menzahirkan solidariti terhadap umat Islam yang ditindas rejim Zionis.
Pengerusi Program #Aid4Palestine Peringkat Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, rakyat boleh terus menghulurkan sumbangan masing-masing sehingga tarikh akhir 19 Mei iaitu pada Rabu.
Menurutnya, jumlah akhir kutipan sumbangan melalui Tabung Serambi Mekah tersebut akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Khamis ini.
"Sehingga kini kita berjaya mengumpul hampir RM1 juta iaitu sebagaimana sasaran dan kita masih buka ruang kepada rakyat untuk menghulurkan derma masing-masing melalui tabung yang telah disediakan.
"Kita ada menerima RM50,000 daripada seorang individu untuk diberikan kepada keperluan rakyat Palestin.
"Ini salah satu contoh yang cukup dikagumi dan Insya-ALLAH semoga pertolongan kecil ini memberi rahmat yang cukup besar kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan pertemuan dengan Koordinator Kempen #Aid4Palestine Peringkat Negeri Kelantan, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, pihak kerajaan negeri juga menjunjung kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di atas kurniaan sumbangan baginda ke tabung tersebut sebanyak RM300,000.
"Mana-mana pihak yang mahu berbuat demikian boleh salurkan sumbangan anda ke Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Serambi Mekah) iaitu melalui Bank Islam Malaysia Berhad iaitu 03018010080024.
"Selain itu, kita menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan untuk mendirikan solat hajat dan bacakan qunut nazilah bagi mempermudahkan segala urusan rakyat Palestin.
"Buatlah solat hajat dan berdoalah setiap kali solat fardu semoga semuanya kembali selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!