Jangan burukkan lawan ketika berkempen: Mufti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan parti bertanding dalam PRK Semenyih supaya tidak memburukkan lawan masing-masing atau melemparkan fitnah sebagai modal berkempen.

Beliau menegaskan, sebaiknya parti bertanding menerangkan dasar perjuangan parti diwakili dan rancangan yang bakal dilakukan sekiranya diberi mandat dalam PRK berkenaan.

“Tak payahlah burukkan orang lain ketika berkempen. Memburukkan orang lain adalah berdosa kerana mengumpat,walaupun betul apa yang diperkatakan.

“Jika tidak betul maka ia menjadi fitnah yang dosanya lebih besar lagi. Rakyat tidak memerlukan cercaan dan maki hamun,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, apa yang diperlukan rakyat adalah dasar dan rancangan untuk meningkatkan taraf hidup dan kepentingan mereka serta anak cucu.

“Nak jadi wakil rakyat tunjukkanlah peribadi seorang pemimpin yang baik dan mulia di samping kesediaan berkhidmat kepada rakyat yang diwakili,” katanya.

Biarpun bekas Perdana Mentei, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan calon BN dalam PRK Semenyih, beliau tetap menjadi sasaran serangan PH.

Malah secara sinis, Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berkempen mengingatkan Najib supaya turut membawa ‘seseorang’ ke program kempennya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Mohamed Azmin tidak menyebut sebarang nama berkenaan 'seseorang' itu tetapi dipercayai merujuk kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang sudah agak lama tidak kelihatan di acara awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!