Thailand catat 35 kematian dalam 24 jam, jumlah harian tertinggi
BANGKOK - Thailand mencatat satu lagi rekod baru kematian Covid-19, dengan 35 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir termasuk seorang bayi berusia dua bulan menjadikan jumlah kematian 649 orang.
Dalam tempoh sama, Thailand melaporkan 2,473 kes Covid-19 baharu termasuk 680 tahanan yang menambah jumlah jangkitan keseluruhan kepada 113,555 sejak pandemik itu bermula pada Januari 2020.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kematian baharu melibatkan 18 wanita dan 17 lelaki berusia antara dua bulan hingga 93 tahun termasuk 16 kematian di Bangkok, masing-masing dua di Chiang Rai, Songkhla dan Samut Prakan.
Namun, beliau tidak memperincikan mengenai bayi berusia dua bulan itu.
Daripada 2,473 kes baharu, beliau berkata 2,450 kes adalah jangkitan tempatan dan 25 kes import termasuk empat warga tempatan yang kembali dari Malaysia.
“Situasi Covid-19 di Thailand bertambah baik kecuali di Bangkok dan sekitarnya. Terdapat 23 wilayah yang melaporkan sifar kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir sementara 35 wilayah lain mencatatkan antara satu hingga 10 kes sahaja ” katanya dalam taklimat Covid-19 di sini, pada Selasa.
Mengenai kelompok penjara, Taweesin berkata Jabatan Pemulihan merancang untuk memvaksin tahanan di seluruh negara.
Selain itu, katanya, tahanan berisiko tinggi termasuk mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas yang berpenyakit akan diasingkan daripada penghuni penjara utama.
"Semua tahanan dan pegawai di seluruh negara akan disaring setiap tujuh hari," katanya.
Thailand mempunyai kira-kira 330,000 tahanan di 143 penjara di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!