Isu air: Kedah serah syor tuntutan kepada KASA
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sudah menyerahkan syor berhubung tuntutan caj bekalan air Pulau Pinang yang dibentangkan oleh panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air negeri Kedah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syor berkenaan dikemukakan oleh Kedah untuk penilaian KASA berhubung rasional tuntutan berkenaan.
Menurutnya, ia juga sebagai persediaan Kedah untuk menerima campur tangan kerajaan Pusat sebagai moderator bagi mengatasi kemelut air yang berlaku antara negeri itu dengan Pulau Pinang.
“Kita sudah hantar pandangan pakar-pakar dari aspek teknikal, KASA akan bertindak sebagai moderator untuk uruskan tuntutan Kedah itu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah pada Selasa.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menegaskan, berdasarkan syor berkenaan, Pulau Pinang hanya berhak menggunakan lima peratus daripada keseluruhan air mentah dari Sungai Muda di Kedah, berdasarkan kepada hak riparian.
Bagaimanapun, Pulau Pinang telah menggunakan sekitar 56 peratus sumber air Kedah berbanding hak riparian dibenarkan dan perlu membayar caj penggunaan air mentah dari Kedah disebabkan penggunaan melebihi had.
Beberapa syor lain turut dikemukakan kepada KASA untuk menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan kemelut yang berlarutan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak menuntut pampasan dari Pulau Pinang sebaliknya menuntut bayaran atas penggunaan air mentah oleh negeri tersebut.
“Saya minta bayaran daripada Pulau Pinang, bukan pampasan. Pampasan memang saya mohon dari Pusat. Bayaran hendaklah dibayar oleh Pulau Pinang kerana air itu digunakan oleh negeri itu,” katanya.
Menurutnya, sekiranya Pulau Pinang membuat bayaran atas penggunaan air mentah dari Kedah, sudah pasti pihaknya akan mengambil kira kepentingan negeri itu dalam semua keputusan berkaitan.
“Kalau tak mahu bayar, tak apalah, tunggulah. Kalau air tak sampai ke Pulau Pinang, nasiblah. Kalau tiada pembeli, kita tak juallah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa dalam kenyataannya pada Selasa, menyebut Kedah sewajarnya menuntut pampasan untuk perlindungan undang-undang dan pemuliharaan Ulu Muda daripada kerajaan Pusat.
Ini kerana kerajaan Pusat yang memperoleh cukai berjumlah RM16.4 bilion pada 2019 dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, harus membayar dan memberi pampasan kepada Kedah untuk memastikan keselamatan bekalan air di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!