Singapura beri keutamaan dos pertama mulai 19 Mei

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan mengutamakan pemberian dos pertama vaksin Covid-19 kepada lebih ramai orang dan mempercepat program vaksinasi mulai 19 Mei untuk melindungi lebih ramai penduduk di republik itu, umum pasukan petugas pelbagai kementerian (MTF) mengenai Covid-19.

MTF menjangkakan dengan strategi baharu yang mengutamakan pemberian dos pertama seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jerman, sekitar 4.7 juta individu akan divaksin pada Ogos, tambahan 400,000 orang berbanding anggaran awal.

Pengerusi bersama MTF, Ong Ye Kung mengatakan ia akan merangkumi hampir semua populasi yang layak menerima vaksin di republik ini.

Memandangkan bekalan vaksin yang terhad, beliau berkata, berkuat kuasa 19 Mei republik itu akan melanjutkan selang masa antara suntikan vaksin pertama dan kedua selama enam hingga lapan minggu berbanding tiga hingga empat minggu pada masa ini.

Ye Kung yang juga Menteri Kesihatan mengatakan jarak antara dos dari enam hingga lapan minggu akan membolehkan republik itu melindungi lebih ramai orang menerusi dos pertama vaksin dengan lebih cepat.

Hampir dua juta individu telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin dengan lebih 1.4 juta individu telah menerima dos kedua dan selesai melalui vaksinasi penuh.

Sehingga 17 Mei, Singapura telah memberikan lebih 3.4 juta dos vaksin Covid-19.

Pada sidang akhbar itu, MTF juga mengumumkan Jawatankuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah membenarkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) untuk mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam penilaiannya, MTF mengatakan jawatankuasa itu mempertimbangkan keselamatan, keberkesanan dan toleransi vaksin dan bentuk kajian ujian klinikal untuk kumpulan usia ini.

Republik ini juga akan memanggil mereka yang berada dalam kumpulan 40 hingga 44 tahun mendaftar untuk vaksinasi bermula 19 Mei.

Mengemas kini panduan penggunaan pelitup muka, MTF mengatakan kelompok baharu menunjukkan tahap penularan yang lebih tinggi, kemungkinan disebabkan oleh varian baharu virus.

Pelitup muka dengan perlindungan yang lebih baik, seperti mempunyai penyaringan yang lebih baik akan membantu mengurangkan risiko penularan dan jangkitan.

Ini termasuk pelitup muka yang dapat digunakan kembali yang diperbuat daripada sekurang-kurangnya dua lapisan kain dan pelitup muka untuk pembedahan, kata pasukan petugas itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!