Petronas Dagangan perkenal Setel

Petronas Dagangan
Petronas Dagangan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Petronas Dagangan Bhd (PDB) telah memperkenalkan Setel, e-pembayaran yang pertama di Asia Tenggara untuk pembelian bahan api secara langsung daripada peranti mudah alih.

Setel adalah satu penyelesaian khusus yang direka untuk mengintegrasikan terus ke pam bahan api - yang pertama di Asia Tenggara - membolehkan pelanggan membeli bahan api dalam beberapa klik secara langsung dari dalam kenderaan mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, PDB berkata Setel kini boleh digunakan di lebih 40 stesen di Lembah Klang, akan mencapai 600 stesen menjelang Jun 2019 dan dijangka ke seluruh negara menjelang akhir 2019.

"Di samping pembelian bahan api, pelanggan akan dapat membeli barangan di Kedai Mesra mulai Januari 2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd Tahir berkata, Petronas telah memberi tumpuan kepada mewujudkan pengalaman pelanggan baru dalam perniagaan runcit dengan memanfaatkan kuasa digital.
Artikel Berkaitan:


"Setel membolehkan pengalaman lancar yang lengkap yang memberi tumpuan kepada menyediakan kemudahan dan keselesaan untuk pembelian bahan api di hujung jari pelanggan kami," katanya.

Ketua Setel, Iskandar Ezzahuddin berkata, aplikasi mudah alih tersebut telah menerima banyak maklum balas positif daripada lebih 10,000 pengguna sejak pelancaran awalnya pada Julai tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!