Budak lelaki lemas, rakan belum ditemui
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mati dipercayai akibat lemas ketika mandi di tali air di kampung Gelam, Tanjung Minyak di sini, pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Muhammad Fakrullah Rozami dan kembarnya serta seorang lagi rakan berusia sembilan tahun dipercayai mandi di tali air tersebut yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari rumah mereka.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata,
operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu tertumpu kepada pencarian di darat hingga sejauh dua kilometer selepas pencarian dalam kawasan tali air sedalam 1.2 meter itu tidak menemui sebarang petunjuk.
"Kita gerakkan operasi SAR untuk mencari seorang kanak-kanak yang belum ditemui selepas mandi di kawasan tali air bersama rakannya yang juga pasangan kembar, namun seorang telah ditemui lemas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, mayat kanak-kanak lemas itu dipercayai ditemui dalam keadaan kakinya terikat pada plastik di tali air tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang pekebun memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarga pasangan kembar tersebut lalu bapa mereka bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam tali air itu.
Katanya, namun mangsa disahkan meninggalkan dunia di Klinik Kesihatan Tanjung Minyak dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
"Pasangan kembar yang terselamat telah dibawa pulang oleh keluarga namun rakan mereka masih tidak dapat dikesan dan operasi mencarinya diteruskan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!