Mesir 'pendamai diplomatik' Palestin-Israel
MESIR kini berusaha untuk menamatkan pertempuran antara Israel dengan Hamas yang menyebabkan lebih 200 orang terkorban dan lebih 1,000 penduduk Palestin cedera akibat serangan udara tentera rejim Zionis sejak minggu lalu di Gaza.
Pada tahun 2014, Mesir menjadi pengantara dalam satu gencatan hasil yang berkuat kuasa selama beberapa minggu antara rejim Zionis dengan Hamas yang menguasai pentadbiran di Gaza iaitu wilayah yang padat dengan penduduk.
Dalam pada itu, konflik yang memasuki minggu kedua dalam serangan tentera Israel di Gaza itu, dua negara Teluk iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun lalu turut mengutuk serangan ganas rejim Zionis tersebut.
Namun, Mesir yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun 1979 pula kini berusaha merealisasikan satu gencatan senjata sama seperti yang dilakukannya ketika tentera rejim Zionis bertempur dengan pejuang-pejuang Palestin dalam Perang Gaza pada tahun 2014.
Dalam perang itu, lebih 2,000 penduduk Palestin terkorban manakala 71 penduduk Israel terbunuh sebelum perang itu ditamatkan menerusi satu gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir.
Ketika itu, Mesir diperintah oleh Presiden Abdul Fattah Al-Sisi yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dan pegawai tentera negara itu.
Negara itu juga sekali lagi menjadi pengantara gencatan senjata yang berlaku pada tahun 2012 antara rejim Zionis dengan Hamas selepas pertempuran berlaku selama lapan hari antara kedua-dua pihak.
Ketika itu, Mesir ditadbir oleh Presiden yang pertama kali dipilih secara demokratik iaitu Mohammed Morsi.
Dalam pertempuran pada tahun 2012 itu, seorang komander Hamas, Ahmed Jabari gugur dalam serangan tentera Israel.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian, seramai 174 penduduk Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera dan ramai keluarga Palestin hilang tempat tinggal.
Semasa Mesir di bawah pemerintahan Hosni Mubarak, negara itu menjadi pengantara bagi membolehkan satu gencatan senjata diwujudkan pada tahun 2008 antara rejim Zionis dengan Hamas.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa selama enam bulan di wilayah Gaza dan Israel dilaporkan menghentikan serangan udara di wilayah tersebut manakala tiada serangan roket dilancarkan dari Gaza oleh Hamas.
Dalam usaha menghentikan pertempuran terbaharu itu, satu delegasi Mesir dilaporkan berada di Israel dan wilayah Palestin bagi mengusahakan satu lagi gencatan senjata antara kedua-dua pihak.
"Delegasi (Mesir) itu mengandungi pegawai-pegawai perisikan dan sudah berada di sana (Israel dan Gaza) selama beberapa hari untuk merundingkan satu gencatan senjata," kata seorang anggota Majlis Tertinggi Memerangi Keganasan di Mesir, Khaled Okasha kepada AFP.
Okasha yang juga Pengarah Pusat Untuk Kajian Strategik Mesir berkata, beliau optimistik bahawa gencatan senjata itu akan dicapai.
Dalam pada itu, felo kanan Yayasan Abad yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS), Michael Hanna berkata kepada AFP bahawa Mesir kekal penting sebagai pemain diplomatik dan gencatan senjata itu perlu dilakukan dengan penglibatan Kaherah.
Israel melakukan sekatan laut dan daratan di Gaza sejak tahun 2007 apabila Hamas menguasai Gaza yang mempunyai kira-kira dua juta penduduk dan selepas berlangsungnya pilihan raya perundangan Palestin pada tahun 2006.
Pada pilihan raya itu Hamas membuat kejutan apabila memenangi 76 kerusi berbanding Fatah yang mendapat 43 kerusi sekali gus memenangi majoriti kerusi di Dewan Perundangan Palestin.
Mesir telah membuka sempadan Rafah yang merupakan lintasan antara Gaza dan Mesir baru-baru ini.
Ia merupakan satu-satunya laluan yang tidak dikawal oleh rejim Zionis.
Lintasan itu ditutup oleh Mesir atas faktor-faktor keselamatan.
Namun, Presiden Mesir telah mengarahkan pihak berkuasa di negara itu bagi membuka lintasan tersebut untuk membenarkan penduduk Gaza yang cedera dirawat di hospital-hospital Mesir sekali gus membenarkan bantuan dihantar kepada penduduk di wilayah tersebut.
Sebelum ini, AS mendesak Mesir dan sekutu-sekutu Arab lain terutama Tunisia dan Qatar memainkan peranan penting dalam menamatkan pertempuran antara rejim Zionis dengan Hamas itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!