Raya atau tidak, aktiviti haram tetap berlaku
BOLEH dikatakan kes jenayah tidak terhenti walaupun pada musim perayaan.
Rumah yang ditinggalkan kosong ketika penghuni bercuti panjang pulang ke kampung sering menjadi sasaran penjenayah untuk dipecah masuk.
Namun pada Aidilfitri kali ini, seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rentas daerah serta ziarah Aidilfitri tidak dibenarkan. Sambutan hari raya hanya dirai di rumah masing-masing.
Keadaan ini menyebabkan jenayah pecah rumah yang sering berlaku ketika cuti panjang musim perayaan sehingga kini masih belum didengari berlaku.
Begitupun, ini tidak bermakna penjenayah tidak cuba mengambil kesempatan pada hari raya baru-baru ini untuk melakukan jenayah.
Buktinya, polis Perlis mematahkan sindiket penyeludupan dadah dan merampas 190.9 kilogram ketulan ganja dianggar bernilai RM477,250 dalam serbuan pada awal pagi hari raya pertama.
Hasil intipan selama tiga jam awal pagi Khamis itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dadah berkenaan menggunakan sebuah bot nelayan di sebuah jeti haram berdekatan Kuala Perlis, Perlis.
Pada malam Aidilfitri pula di Melaka dan Muar, Johor, PDRM dan Pasukan Polis Marin (PPM) juga berjaya menumpaskan cubaan pengedar dadah untuk menyeludup dadah ke negara jiran.
Di Melaka, polis berjaya merampas 100.4 kilogram (kg) syabu manakala di Muar, sejumlah 84kg dadah jenis sama berjaya dirampas.
Ambil kesempatan
Penjenayah-penjenayah memang terkenal dengan sikap mereka yang sering mengambil kesempatan atas sesuatu keadaan untuk melakukan jenayah.
Suatu masa dahulu di Melaka, selama kira-kira sebulan hampir setiap hari Jumaat ketika waktu menunaikan solat Jumaat, pasti ada saja kes rompakan kedai emas berlaku.
Mungkin penjenayah terbabit beranggapan waktu solat Jumaat ini polis kurang melakukan rondaan dan merupakan masa paling sesuai untuk merompak kedai emas.
Pada Hari Raya Aidilfitri pula, mungkin penjenayah beranggapan kawalan polis sedikit longgar ekoran kesibukan menyambut perayaan itu dan kesempatan ini harus digunakan untuk melakukan kegiatan mereka.
Penjenayah juga mungkin menyangka polis sibuk mengadakan sekatan jalan raya (SJR) untuk menghalang aktiviti rentas negeri dan kurang memberi fokus kepada kegiatan jenayah akibat kekangan anggota tidak mencukupi.
Namun begitu tanggapan mereka ternyata salah apabila kawalan yang dilakukan anggota polis tetap sama tanpa mengira waktu termasuk ketika 1 Syawal.
Sepanjang minggu pertama Syawal ini, pelbagai kejayaan demi kejayaan polis menumpaskan kegiatan jenayah dan menahan penjenayah dapat dilihat.
Dalam masa sama, bukan penjenayah sahaja, orang ramai juga dilihat cenderung mengambil kesempatan Aidilfitri ini untuk mencuba nasib melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan.
Ada saja kes pelanggaran SOP didengar sepanjang awal Syawal ini. Di Johor Bahru, sebuah keluarga dikesan mengadakan majlis kenduri kahwin di Iskandar Puteri pada hari raya kedua. Akibatnya, mereka dikompaun sebanyak RM4,000.
Di media sosial pula, saban hari ada saja tular gambar ziarah rumah raya. Bukan saja orang biasa, ahli politik dan artis terkenal juga disiasat kerana dikesan melanggar SOP PKP.
Ketika kita bercuti menyambut Aidilfitri dengan menjamu juadah yang sedap-sedap seperti lemang dan rendang, dalam masa sama anggota polis negara ini pula berkorban memastikan tiada jenayah berlaku.
Bukan hanya memantau jenayah, beban tugas mereka juga semakin bertambah kini dengan perlu memastikan SOP PKP dipatuhi bagi mengurangkan kes Covid-19.
Ingat, polis bukan hanya perlu memantau SOP PKP, sebaliknya tugas utama mereka juga termasuk menangani jenayah di negara ini.
Jika kadar jenayah rendah, yang beroleh manfaat adalah rakyat negara ini juga. Sama-sama kita bantu kita.
* Rosli Hassan ialah penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!