Pilih nyawa atau gaya hidup
SHAH ALAM - Malaysia dijangka bakal berdepan dengan peningkatan angka kematian akibat Covid-19 mencecah 100 kes sehari sekiranya kes baharu tidak menunjukkan penurunan dalam tempoh kira-kira dua minggu ini.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, ia selari dengan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa trend peningkatan mengunjurkan lebih 8,000 kes baharu Covid-19 bermula 13 Mei hingga 6 Jun.
“Sekarang ini kita tidak sampai seminggu lepas raya, kita tunggu dua minggu selepas raya. Angka kematian akan jadi lebih tinggi jika angka positif juga tinggi.
“Jika menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu mungkin mencecah sehingga 8,000 kes dan jika kita bayangkan kadar kematian, sekarang ini 40 kes, mungkin ketika itu sudah mencecah 80 hingga 100 kes kematian sehari,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas beliau, dalam situasi semasa iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak begitu menyeluruh, potensi untuk kes baharu Covid-19 terus meningkat amat besar.
Katanya, faktor ‘kedegilan bersama’ oleh sebilangan masyarakat tidak bertanggungjawab yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan juga membuatkan keadaan bertambah buruk.
“Kita ada dua pilihan sahaja sama ada kita memilih untuk hidup atau kita nak memilih gaya hidup. Setakat ini, kerajaan telah memilih pentingkan gaya hidup kerana ekonomi juga penting.
“Jadi apabila kita telah memilih jalan itu, kita berdepan dengan mereka yang telah berjangkit, jadi kita kena tanggung akibatnya,” katanya.
Dr Sazaly berkata, sekiranya kerajaan masih kekal dengan pelaksanaan PKP seperti sekarang, kerajaan perlu memastikan pergerakan hanya berlaku melibatkan mereka yang sudah disahkan negatif khususnya dalam sektor pekerjaan yang kini dilihat menjadi punca penularan jangkitan dalam komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!