Heret Zionis kejam ke mahkamah ICC
KUALA LUMPUR - Komuniti dan institusi antarabangsa perlu mengambil tindakan yang lebih serius dalam membantu mengatasi keganasan dan pembunuhan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, ia perlu dilakukan dengan mendesak kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan perundangan kepada pemimpin Israel yang bertanggungjawab melakukan jenayah perang melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Menurutnya, ini kerana sejak tujuh dekad lalu, masyarakat dunia sehingga kini telah menyaksikan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin melalui kekejaman dan pencerobohan yang dilakukan ke atas negara tersebut.
"Meskipun kerajaan Palestin dapat merasai sokongan yang diberikan masyarakat dunia terhadap negara tersebut, namun beliau berkata, masih belum ada sebarang tindakan praktikal yang didapati dilakukan bagi menghalang perkara tersebut daripada berlarutan.
“Setiap hari masyarakat dunia dapat melihat jenayah perang yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin. Mereka perlu menghentikan apa yang dilakukan Israel terhadap Palestin dengan membawa pemimpin Israel ke ICC, di Hague, Belanda bagi mendapatkan keadilan.
“Mereka yang percaya dengan hak kemanusiaan dan demokrasi mesti menghentikan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Komuniti dan kesemua institusi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti menggunakan kekuatan yang dimiliki untuk mempengaruhi kerajaan di seluruh dunia bagi mengambil tindakan yang serius,” katanya ketika ditemui oleh Sinar Harian di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Walid turut meminta masyarakat antarabangsa termasuk negara barat yang memiliki kepercayaan terhadap hak asasi kemanusiaan supaya bersikap lebih adil dan tidak mengambil pendirian yang berat sebelah dalam isu Palestin.Beliau berkata, institusi hak asasi manusia antarabangsa yang berada di Palestin juga dapat melihat setiap hari bukti bagaimana pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh askar dan pendatang Israel.
Katanya, pencerobohan dan kekejaman berterusan Israel telah menyebabkan kesengsaraan kepada bukan sahaja penduduk awam, malah ia turut memberi kesan kepada perempuan, kanak-kanak dan orang tua di negara tersebut.“Sekiranya anda pergi dan melihat sendiri, Gaza telah menderita atas pelaksanaan sekatan sejak lebih satu dekad yang lalu.
“Kami hidup dalam negara yang statusnya adalah berada dalam peperangan. Rakyat Palestin yang tidak melakukan apa-apa kesalahan berhadapan dengan askar Israel yang memiliki kelengkapan ketenteraan yang sangat moden dan sofistikated,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keganasan yang dilakukan oleh Israel berlaku ke atas seluruh rakyat Palestin tidak kira sama ada mereka tinggal di daerah Gaza, Baitulmaqdis, Hebron ataupun Ramallah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!