Lelaki didakwa cederakan anggota Rela
LUMUT - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Sabtu lalu.
Tertuduh, Yeap Sen Sing, 53, pada awalnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Bagaimanapun, A Hafiizh menolak pengakuan salah tersebut selepas tertuduh tidak mengakui fakta kes bahawa dia telah meludah kepada anggota Rela berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap Hong Koh Hwa, 46 yang menjalankan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar Awam Looking Good, Kampung Koh, Sitiawan di sini kira-kira jam 6.40 pagi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 21 Jun depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes pukul dan meludah seorang anggota Rela di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki terbabit dikatakan tidak menghiraukan arahan petugas yang menahannya dari memasuki kawasan pasar kerana belum dibuka.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pukul, ludah anggota Rela ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!